Sunday, May 30, 2010

Antara Doktor dan Mat Rempit

Sebagai seorang doktor yang tugasnya menyelamatkan nyawa manusia,tentulah
saya merasa bangga dengan profesion saya ini. Sememangnya inilah cita-cita
sebenar saya selama ini. Etika dan sikap profesionalisme sering saya
amalkan. Apatah lagi saya juga seorang pensyarah di Pusat Pengajian
Perubatan di salah sebuah universiti terkemuka. Saya sering menanamkan dan
menekankan aspek insaniah dalam diri bakal-bakal doctor yang merupakan
pelajar saya.

Suatu hari yang ditakdirkan Allah, saya di ajar tentang suatu nilai yang
saya terlupa oleh seorang mat rempit.

Saya menoleh jam loceng saya. "Ah....baru 3am dan saya baru terlena hanya
2jam sahaja." Tapi,apakan daya kerana tugas,saya terus mencuci muka dan
terus menggapai kunci kereta saya. Inilah rutin seorang doltor yang kita
kenali sebagai `on call`.

Setelah memecut kenderaan saya,akhirnya saya tiba di bilik kecemasan. Ada
satu kes kemalangan. Seorang penunggang cedera parah dan pemboncengnya
meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tolong doktor..Tolong selamatkan kawan saya," rayu seorang lelaki muda
berseluar jean yang koyak dibahagian lututnya. Inilah trend pakaian mat
rempit. Setelah 4 jam dibilik pembedahan,mangsa berjaya diselamatkan dan
kaki kanannya terpaksa dipotong. Entah mengapa hari itu,terlintas bisikan
syaitan dalam hati saya yang menyatakan`you deserve to get it`.
Astaghfirualallahal azim, sebagai seorang doktor,saya tidak harus
meletakkan prejudis saya sebagai prioriti dalam merawat pesakit. Melihat
pesakit saya dari sudut siapa dia sebenarnya adalah salah. Hal ini kerana,
dalam merawat dan meyelamatkan pesakit,nyawa setiap manusia begitu bernilai
walaupun pada pandangan kita atau sesiapa,dia bukanlah apa-apa.

Keesokan harinya,saya pulang dari hospital agak lewat malam. Kepenatan
benar-benar menyebabkan saya tidak sabar untuk tiba di rumah.

"Ah....lampu merah pula!!" Maka saya terus menekan pedal brek dan menunggu
giliran sambil mata saya tertumpu pada suatu peristiwa yang menarik. Saya
melihat seorang lelaki yang koyak jeannya dilutut menunggang dengan laju
melanggar lampu merah tanpa rasa bersalah. Dalam hati saya berdetik "sah
mat rempit lagi. Tak ada kerja lain ke selain menyusahkan orang lain."
Tiba-tiba saya melihat pemuda itu berhenti,menongkat motornya dan berjalan
kedepan.

Saya benar-benar malu pada diri saya sendiri melihat pemuda itu mengambil
bangkai kucing yang saya kira baru saja dilanggar petang
tadi,mengalihkannya ke tepi jalan agar tidak dipijak hina oleh kenderaan
lain.

"Allahuakbar."

Saya benar-benar tersedak dengan bisikan hati kecil sendiri. Saya rasakan
diri ini sangant mulia apabila menyelamatkan nyawa manusia,tapi tidak
terlintas dan tidak sanggup membela bangkai binatang itu padahal ia juga
suatu nyawa yang harus dihargai dan dimuliakan. Sedangkan dia seorang mat
rempit yang mungkin tidak menghargai nyawanya sendiri boleh meletakkan
nilai harga nyawa seekor binatang pada aras yang tinggi. Sesungguhnya Tuhan
sedang mengajar saya sesuatu.

Sesungguhnya saya telah belajar sesuatu dari seorang mat rempit. Kemuliaan
seseorang itu bukan terletak pada berapa besar dan tingginya jasa dan
sumbangan pada sesuatu tetapi dinilai dari berapa besar seseorang itu
mengerti makna kewujudan sesuatu dan menghargai.

Ini bukan kisah yang memberi pengajaran bahawa kita juga boleh menjadi
mulia walaupun seorang mat rempit,lantas menanam cita-cita untuk menjadi
kaki rempit. Namun cerita ini membawa pengajaran bahawa kita tidak boleh
terlalu berbangga dengan diri sendiri dan membiarkan prejudis membezakan
diri kita dengan golongan lain. Sikap prejudis akan mengurangkan etika dan
meruntuhkan sikap profesinalisme yang ada dalam diri kita..

0 comments:

Post a Comment